Thursday, February 13, 2014

Lihat Dunia Guna Mata Hati

Assalamualaikum. Kenapa tiba-tiba aku ketengahkan topik LIHAT DUNIA GUNA MATA HATI? Jawapannya adalah kerana umat manusia pada zaman ini lebih suka bermegah dengan apa yang ada pada diri mereka. Kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan dan semua jenis nikmat yang Allah turunkan pada mereka. Adakah ia benar milik manusia? Mengapa mereka bermegah dengan sesuatu yang bukan milik mereka?

Ternyata manusia ini memang tidak pernah sedar dengan apa yang dipinjamkan. Bermegah seolah-olah macam dunia ini mereka yang punya. "Demi masa,sesungguhnya manusia itu sedang dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh." Allah telah janjikan bahawa manusia akan duduk dalam kerugian andai mereka jadi manusia yang tidak pernah ada kesedaran melainkan kepada mereka yang beriman dan sentiasa beramal soleh. Siapa pula golongan yang rugi dan siapa pula golongan yang beriman?

Golongan yang rugi adalah golongan yang tidak mengenal siapa dirinya,siapa Tuhannya,yang sombong,bongkak,meninggi diri,riak dan mereka yang hatinya dibelenggu dengan hasutan syaitan. Golongan ini akan sentiasa merasa nikmat yang Allah beri adalah miliknya tanpa dia memanfaatkannya pada orang lain. Sebijak mana pun seseorang itu,ilmunya tetap terbatas kerana ilmu itu luas. Sekaya manapun seseorang itu,kekayaannya akan habis setelah dia mati dan hartanya takkan ikut masuk sama ke dalam kubur. Manfaatkanlah nikmat yang Allah beri kepada diri dan masyarakat dengan sebaik-baiknya dan dengan ikhlas.

Dan siapa pula golongan yang beriman dan beramal soleh? Mereka ini lah orang yang mengenal dirinya,mengenal Tuhannya,merendah diri dan ikhlas dalam setiap perbuatan baik mereka di atas muka bumi ini. Mereka jugalah yang MELIHAT DUNIA GUNA MATA HATI di mana mereka ini sentiasa tahu ke mana perlu diserahkan segala perbuatan baik mereka. Mereka juga tahu siapa yang mengizinkan segala gerak geri mereka untuk melakukan sesuatu kebaikan kepada diri dan masyarakat.

LIHAT DUNIA GUNA MATA HATI.Jangan jadi manusia yang lupa diri. Beringat sebelum terlambat. Allah sentiasa memerhati kelakuan,percakapan dan gerak hati kita. Hanya Allah yang wujud hanya Allah yang berkuasa. Jangan rasa diri itu terlalu hebat umpama Tuhan untuk menghukum orang lain dan merasa diri itu sentiasa benar.Wallahualam.

No comments: